Monday, June 21, 2010

SUKMA XIII 2010 MELAKA... Masa depan sukan negara jadi taruhan



Baharu sahaja SUKMA XII melabuhkan tirai pada minggu lalu. Juara keseluruhan dimiliki oleh Terengganu. Tahniah kepada Terengganu kerana berjaya membuktikan bahawa mereka masih unggul. Banyak cerita suka dan duka yang dicoretkan dalam sukma kali ini. Tetapi bagi saya, SUKMA ini menunjukkan banyak cerita.

Kalau dikira, inilah penglibatan secara total saya didalam SUKMA. Dengan pengalaman saya bersama pasukan negara sejak 1995, pernah menjadi Pegawai Psikologi di ISN. Inilah SUKMA pertama saya secara rasmi. Kali ini saya dan sahabat saya telah dilantik sebagai Pegawai Psikologi kepada kontinjen Selangor. Inilah cerita saya melalui pengalaman, pengamatan dan pemerhatian saya selama 13 hari di SUKMA ini.

Melaka telah melakukan yang terbaik untuk menajdi tuan rumah yang baik. Tetapi ia bukan yang terbaik. Perkampungan sukan ditempatkan di UiTM Lendu, pada tahap SUKMA mungkin itu adalah yang terbaik, tetapi seharusnya itu adalah 'benchmark' atau tahap minima untuk
memberi keselesaan kepada atlet. Kasihan saya memikirkan atlet-atlet yang ditempatkan di tempat-tempat lain seperti di Kolej Yayasan Melaka serta beberapa tempat penginapan yang lain. Begitu banyak aduan dan keluhan yang saya dengar dan lihat. Dengan begitu banyak aduan tentang makan dan pelbagai lagi. Saya percaya perancangan yang rapi dan perlaksanaan yang amanah dan telus, masalah ini tidak timbul. Saketeriat negeri-negeri bertanding dipusatkan di UiTM Lendu, sedangkan semua pegawai teknikal diletakkan di D' Village Resort Ayer Keroh. Perjalan 30 min dengan kelajuan 120km/j akan menyampaikan pegawai-pegawai tersebut ke saketeriat. Bukankah ada banyak hotel di Melaka yang memang terkenal dengan industri
pelancongan? Kenapa tidak titempatkan sahaja di UTeM? asrama UTeM penuh digunakan? Bukankah sekarang universiti tempatan sedang bercuti panjang. Bukankah SUKMA telah dirancang lebih 2 tahun? Kan lebih mudah dan selesa jika setiap negeri diberi satu hotel untuk menjadi saketeriat? Sea Games 2001 kita menjadi tuan rumah dengan jayanya. Pada skala tempatan kita lakukan saja di SUKMA.

Isu gelanggang mungkin tidak banyak didengari, tetapi kasihan untuk beberapa gelanggang yang tidak boleh memuatkan ramai penonton. Gelanggang di Merlimau misalnya, tempat penonton yang sangat terhad amat sangat tidak sesuai, ada keluhan juga dari penonton bowling. Mungkin banyak lagi protes yang tidak saya dengar atau terlepas dengar. Keindahan dan besarnya Stadium Hang Jebat adalah sesuatu yang mengkagumkan. Tetapi sayangnya padang utama tidak membenarkan perlawanan bolasepak diadakan di situ. Nasib baik Stadium Hang Tuah masih mampu menampung penonton untuk perlawanan akhir diantara Selangor dan Terengganu.

Perkara paling utama bagi saya adalah pengajuran sukan dan pengadilan SUKMA itu sendiri. Pada hari pertama, iaitu pada 7 Jun lagi sudah banyak yang didengar. Pertama adalah ketidaktentuan jadual pertandingan. Tidak ada satu jadual tetap diawal pertandingan, seperti jadual sukaneka sekolah rendah je. Bukankah jadual dan pengesahan penyertaan sepatutnya dibuat lebih awal?

Yang paling menyedihkan adalah mutu pengadilan sukan-sukan subjektif. Ramai atlet, pengurus, jurulatih yang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang acara-acara sebegini. Silat, Ekuastarian, Wushu dan beberapa sukan yang melibatkan hati dan perasaan juri menunjukkan mutu pengadilan yang paling tidak profesional. Ada juga terdengar-dengar pengadil mengugut jurulatih. Malangnya tidak sampai terus ke telinga saya.

Dengan semua masalah-masalah dan sikap-sikap buruk ini, kemanakah akan ditujukan taraf sukan negara kita? Matlamat SUKMA pada asalnya adalah untuk melahirkan atlet-atlet pelapis untuk atlet elit, tetapi seandainya yang menang adalah hasil dari rasa tidak puas hati pengadil kepada atlet, apakah kita akan mampu menang pada peringkat antarabangsa? Adakah kita akan menghantar atlet 2nd Class untuk mewakili negara? Kasihanlah kepada maruah sukan negara kita. Saya mengendalikan kes atlet yang amat kecewa dengan keputusan juri. Kesannya adalah kepada semua ahli pasukan yang lain. Dendam, marah, kecewa adalah kesan-kesan negatif yang pelu dihindar oleh atlet.

Seperkara lagi, saya tertanya-tanya apakah sebenarnya nilai kemenangan kepada negeri-negeri yang mengambil bahagian? Adakah dengan 'membeli' atlet-atlet yang handal untuk mewakili mereka, serta memberi kemenangan kepada negeri mereka adalah sesuatu yang dibanggakan? Bagi saya, melahirkan atlet yang berkualiti yang dilatih pada satu jangkamasa panjang adalah lebih puas dan membanggakan. Bukankah itu matlamat asal SUKMA?

Kategori umur yang lebih rendah pastinya dapat menyelamatkan SUKMA. Tak perlu negeri-negeri menjerit-jerit untuk mendapatkan khidmat atlet berstatus elit. Lahirkan lebih ramai atlet elit dari golongan muda dari negeri sendiri. Biarkan anak-anak muda ini menjadi juara pada ketegori masing-masing, biarkan mereka menjadi yang terbaik dalam kelas mereka, setelah cukup kriteria-kriteria untuk menjadi atlet pelapis negara, pada usia yang sepatutnya, lepaskan mereka. Nescaya tahap sukan negara pasti meningkat pada tahap antarabangsa. Banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan pada SUKMA yang akan datang. Pegawai-pegawai MSN yang bijaksana pasti dapat menyelesaikan isu-isu ini.

Diharap SUKMA yang mendatang akan menjadi lebih baik dari yang ada di Melaka. Pahang mampu insyallah.

Maju sukan negara tanpa penyelewengan.